TANAH MERAH: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun maut selepas
sebahagian badannya dari telinga hingga ke punggung hangus terkena
panahan petir di sebuah bangsal berdekatan rumahnya di Batu Tiga,
Kampung Belimbing, dekat sini, kelmarin.
Kejadian pada jam 9 malam itu disedari ibunya, Rosnah Dollah, 49,
selepas mangsa, Siti Munirah Nordin, tidak pulang ke rumah untuk berbuka
puasa menyebabkan usaha menjejakinya dilakukan sekitar kampung,
termasuk rumah rakan.
Ibu tunggal terbabit akhirnya mendapati anaknya meninggal dunia dalam
keadaan terlentang di sebuah bangsal 50 meter dari rumah dengan telefon
bimbit masih di sisinya.
Menceritakan kejadian itu, Rosnah berkata, sebelum kejadian, dia menegur anaknya kerana bergayut dengan telefon sepanjang hari.
“Saya tegur dia (arwah anak), dengan siapa dia bergayut kerana sepanjang hari dilihat tidak renggang dengan telefon bimbit.
“Mungkin bosan dengan teguran saya, dia kemudian keluar rumah dan sangkaan saya ketika itu mungkin dia ke rumah rakan.
“Selepas teguran itu, saya ingatkan dia masih di rumah rakannya dan
berbuka di sana. Bagaimanapun, perasaan saya bercampur curiga berikutan
dia masih tidak pulang selepas Maghrib, menyebabkan usaha mencarinya
dilakukan di kawasan sekitar,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya
di Jalan Manal, di sini, semalam.
Rosnah berkata, dia terkejut mendapati rakan anaknya pulang ke
kampung mereka di Salor, menyebabkan usaha mencarinya dilakukan di
sekeliling rumah.
“Hanya Tuhan tahu perasaan saya ketika itu. Saya bimbang berlaku
kejadian tidak diingini dan terus mencarinya meskipun keadaan sekeliling
mulai gelap.
“Bagaikan tidak percaya apa yang saya saksikan apabila menemui anak
dalam keadaan separuh tubuhnya hangus, dipercayai terkena panahan petir
berdekatan kawasan bangsal semak dan terlindung dari pandangan umum,”
katanya.
Katanya, ketika itu Siti Munirah dalam keadaan terlentang, manakala
baju T hitam dan seluar pendek merah jambu yang dipakainya turut terkena
panahan petir dan hangus sebahagiannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Aziz
Mahmud berkata, mangsa ditemui 50 meter dari rumah dalam keadaan
terlentang dengan sebahagian badan hangus.
Sumber : Harian Metro Online
No comments:
Post a Comment