KULIM: “Ketika umat Islam lain bersiap sedia bersama sanak-saudara
untuk menyambut Aidilfitri, keluarga kami pula dibelenggu kesedihan
mengenangkan nasib anak perempuan yang lari kerana mengikuti teman
lelaki warga Nepal ke negara asalnya,” kata Siti Fatimah Yassin, 45,
dari Taman Kenangan, Sungai Karangan, dekat sini, apabila anak
perempuannya, Noorshaheera Mohd Rasul, 21, keluar dari rumah dengan
alasan mahu bertemu rakannya pada 22 Ogos lalu.
Bagaimanapun, wanita berkenaan tidak pulang ke rumah sehingga kini
menyebabkan timbul kebimbangan di kalangan ahli keluarganya walaupun
sudah puas mencarinya.
Siti Fatimah berkata, Noorshaheera keluar dari rumah kira-kira jam
1 tengah hari dengan membawa sebuah beg kecil dan sehelai pakaian
kerana mahu berbuka puasa dan bermalam di rumah rakan perempuannya di
Sungai Petani.
“Saya membenarkannya kerana dia ingin berbuka puasa dan mengambil
kembali wang yang dipinjam rakannya itu, selain berjanji akan pulang
semula kira-kira jam 11 malam pada keesokkan harinya bersama rakannya
itu.
“Bagaimanapun, Noorshaheera tidak juga muncul pada masa dijanjikan
lalu menghubungi rakannya, tetapi dia juga tidak mengetahui ke mana
anak kami pergi sepanjang dua hari itu,” katanya selepas menerima
kunjungan Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Serai, Asmaidi Abu Talib di
rumahnya, di sini, semalam.
Siti Fatimah berkata, rakan anaknya itu kemudian memaklumkan
Noorshaheera berpesan kepadanya supaya memberitahu ibunya mengenai
sekeping nota yang disimpan di dalam laci almari biliknya.
Menurutnya, sebaik membaca nota itu, dia terkejut apabila anaknya
meminta maaf kerana mengikut kekasihnya, lelaki warga Nepal berusia
20-an yang dikenali sejak setahun lalu ketika bekerja di sebuah kilang
di Sungai Karangan.
“Kami berusaha mencarinya pada keesokkan harinya dan dimaklumkan
rakan senegara lelaki itu, mereka merancang kembali ke negara berkenaan
menyebabkan kami bergegas pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan
Lepas di Pulau Pinang.
“Berdasarkan maklumat, anak saya dan lelaki Nepal itu menaiki
penerbangan dari Pulau Pinang sebelum transit di Bangkok dan menuju ke
Kathmandu pada 23 Ogos lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment